Wednesday, June 1, 2011

KERIS TAMING SARI

Keris Taming Sari???

Ha, sebenarnya Taming Sari adalah nama seorang pendekar Jawa dalam kerajaan Majapahit seperti yang tersebut di dalam Hikayat Hang Tuah.

Menurut hikayat ini, Taming Sari adalah seorang panglima yang paling handal di Majapahit ketika itu, dan beliau telah ditugaskan oleh Bendahara Majapahit, Patih Gajah Mada untuk membunuh Hang Tuah.

Taming Sari dikatakan seorang yang kebal tidak dapat dicederakan oleh senjata. Bagaimanapun, kekebalannya adalah terletak pada keris yang digunakannya.

Hang Tuah pula pada masa itu telah berguru kepada seorang ahli pertapaan Jawa bernama Sang Adi Putera. Gurunya itu telah memberitahu akan kelemahan Taming Sari. 

Oleh itu, pada hari pertarungan antara kedua pendekar ini di hadapan Sultan Melaka dan Betara Majapahit, Hang Tuah telah berjaya merampas keris Taming Sari dan menggunakan keris itu untuk menikamnya hingga mati.

Sebagai menghargai kejayaan Hang Tuah itu, Betara Majapahit telah menganugerahkan keris itu kepada Hang Tuah. Keris ini dikenali sebagai "Keris Taming Sari" dan telah dibawa pulang ke Melaka. 

Setelah difitnah oleh Patih Kerma Wijaya, Laksamana Hang Tuah telah dibuang negeri oleh Paduka Sultan Melaka. Keris Taming Sari telah baginda berikan kepada Hang Jebat yang telah dilantik menjadi Laksamana menggantikan Hang Tuah.

Hang Jebat kemudiannya telah memasuki istana Sultan Melaka dan mengamuk membunuh ramai rakyat jelata. Hang Tuah yang disembunyikan oleh Paduka Bendahara telah dipanggil oleh Sultan Melaka untuk bersemuka dengan Hang Jebat

Semasa bertarung, Hang Tuah telah merampas Keris Taming Sari dari Hang Jebat dan telah menikam dan membunuh beliau.

::::::::::::::::::::::::

Selepas itu, Hang Tuah yang terlalu malu untuk menghadap Sultan Melaka kerana gagal mendapatkan Puteri Gunung Ledang untuk baginda, telah mengirim dan mempersembahkan Keris Taming Sari kepada baginda.

Ketika Sultan Mahmud meninggalkan Melaka, baginda membawa keris ini bersama ke Kampar, Sumatera. Baginda kemudiannya telah mengurniakan Keris Taming Sari ini kepada anakanda baginda, Raja Mudzaffar, yang kemudiannya berangkat ke Perak. Keris Taming Sari inilah yang telah digunakan pada adat kebesaran diraja Perak.

Keris berkenaan yang diseliputi dedaun emas, manakala sarung atau hulunya diperbuat daripada emas serta dipercayai adunan daripada 20 jenis besi yang sebahagiannya daripada serpihan besi ganggang pintu Kaabah.


KERIS TAMING SARI



Ada mengatakan kisah Hang Tuah hanyalah satu mitos...bergitu juga dengan kisah Keris Taming Sari...

Wallahu’alam...

::::::::::::::::::::::::

Orang ramai berpeluang menyaksikan Keris Taming Sari yang sedang dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar dari 29 Mei  2011 hingga 5 Jun 2011..




Pameran itu diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak yang ke-83 tahun ini.Baginda telah memberi perkenan supaya Keris Taming Sari dipamerkan di galeri pada tarikh tersebut bermula pukul 10 pagi sehingga 5 petang.

-BERNAMA-

No comments:

Post a Comment